Friday, December 17, 2010

Maklumat Tentang Masalah Kesejahteraan Jiwa

Kehidupan zaman teknologi era maklumat penuh dengan sumber pelbagai untuk menperolehi hiburan, berita terkini dan juga apa-apa maklumat yang diperlukan. Tetapi seperti biskita sedia maklum, apa-apa maklumat yang diperolehi daripada mana-mana sumber media, samada bahan cetak, mahupun media elektronik, tidak semestinya tepat atau benar.

Kesahihan berita ataupun maklumat adalah penting untuk membuat pilihan atau penilaian yang tepat dan jitu. Jikalau berita atau maklumat yang diperolehi adalah salah, ia boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri ataupun orang lain.

Oleh itu, maklumat atau berita mesti diperolehi daripada sumber yang dipercayai, juga daripada sumber yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Masalah-masalah kesejahteraan jiwa  mempunyai mitos yang pelbagai, dan juga menjadi bahan fantasi kepada orang awam. Kebanyakkan mitos dan fantasi mengenai masalah kesejahteraan jiwa adalah kurang tepat, ataupun langsung tidak menyerupai keadaan yang sebenar. Malangnya, salah faham mengenai masalah kesejahteraan jiwa ini membawa kepada stigma ataupun penghinaan kepada orang-orang yang mengalami masalah kesejahteraan jiwa. Kadang-kadang ia juga boleh menjadi penghalang kepada mereka yang mengalami masalah kesejahteraan jiwa untuk mendapatkan rawatan, kerana "takut" akan jenis rawatan yang diberikan.

Jika biskita ingin tahu lebih lanjut mengenai apa-apa masalah kesejahteraan jiwa, ada beberapa laman yang mempunyai maklumat yang sahih dan tepat, di dalam Bahasa Inggeris.

Salah satu daripada laman web yang dimaksudkan ialah:


Ini adalah laman web yang dikendalikan oleh The Royal College of Psychiatrists (ataupun Kolej Pakar Psikiatri Diraja) di United Kingdom.

Laman ini disahkan mempunyai maklumat yang sahih dan tepat oleh salah satu cawangan Jabatan Kesihatan di United Kingdom, iaitu The Information Standard.

Laman ini mempunyai maklumat tentang pelbagai masalah kesejahteraan jiwa, dan juga tentang rawatan yang diberikan oleh pakar psikiatri dan pasukan penjagaan kesihatan yang lain. Bahasa Inggeris yang digunakan di laman web itu mudah untuk dibaca dan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang susah difahami. Bagi yang boleh berbahasa Cina ataupun Arab, disertakan juga maklumat dalam bahasa-bahasa tersebut.

Pada masa akan datang, kami di laman Mental Health Brunei akan mengulas tentang laman-laman lain yang berkenaan dengan masalah kesejahteraan jiwa. Kami juga akan berusaha untuk mencari laman-laman berbahasa Melayu yang tepat dan sahih.