Sunday, December 26, 2010

HARGAI NYAWA BISKITA, BERHENTILAH MEROKOK


Isnin, 15 November 2010
8 Zulhijah 1431

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
 
HARGAI NYAWA BISKITA, BERHENTILAH MEROKOK

MULAI 1 November 2010, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kewangan telah mengumumkan mengenai pindaan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau melalui penguatkuasaan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan) 2010 dan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2010. Berikutan dengan pindaan tersebut secara langsung harga rokok juga meningkat naik sehingga dua kali ganda. Fenomena kenaikan harga rokok di negara ini menjadi perbualan di sana sini khususnya bagi 'peminat' rokok dan perokok. Sehinggakan selepas pengumuman itu, kedai-kedai yang menjual rokok menjadi serbuan bagi mendapatkan bekalan rokok kerana ada sebahagian kedai sudah kehabisan stok rokok.
 
Sebenarnya, tujuan utama kerajaan membuat pindaan itu adalah sebagai usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Langkah drastik yang dilakukan oleh kerajaan itu bukanlah bertujuan untuk membebankan kepada para perokok, tetapi apa yang lebih diutamakan oleh kerajaan ialah bagi menjaga kesihatan awam di negara ini terutama sekali di kalangan warga muda. Mengikut perangkaan, jumlah perokok muda di bawah umur 21 tahun semakin meningkat naik. Gejala ini adalah sesuatu yang tidak sihat sedangkan negara memerlukan tenaga para belia sebagai penerus kesinambungan pembangunan negara.

Langkah yang diambil oleh kerajaan ini juga adalah bertujuan dalam membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti: darah tinggi, lemah jantung dan lain-lain penyakit yang berkaitan dan ada hubung kait dengan merokok. Apa yang jelas tabiat merokok adalah merupakan penyebab penyakit kronik yang merupakan pembunuh yang utama di negara ini. Melihat kepada bahayanya merokok itu, kerajaan mengambil langkah-langkah positif dalam menangani fenomena berkenaan. Maka langkah kerajaan itu sewajarnya diambil perhatian oleh semua pihak dan bukannya menyoal itu dan ini. Perlu ditegaskan bahawa pindaan-pindaan yang dilakukan oleh kerajaan itu tidak lain adalah bagi kebaikan kita bersama iaitu untuk menyelamatkan nyawa penduduk di Negara Brunei Darussalam.


Dari hasil tinjauan yang dilakukan oleh PELITA BRUNEI mendapati kebanyakan orang awam dan orang ramai di negara ini menyambut baik langkah tegas kerajaan itu. Mereka menyifatkan, langkah sedemikian sudah bertepatan dan sesuai dengan masanya bilamana kitani berhadapan dengan jumlah perokok yang terus meningkat naik. Jadinya dengan kenaikan harga apa jua jenis rokok di negara ini sudah barang tentu akan membuka minda dan mata para perokok itu sendiri. Setidak-tidaknya para perokok akan berfikir panjang melihat kepada harga rokok yang melambung naik sehingga dua kali ganda daripada harga biasa. Golongan perokok setentunya akan mengurangkan pengambilan rokok dalam sehari, seminggu dan sebulan. Mungkin dengan cara itu juga, para perokok akan terus berhenti merokok. Itulah sebenarnya niat kita, niat suci kerajaan agar jumlah perokok tegar di negara ini akan berkurangan.

Kalau kita analisis secara terperinci jika seorang perokok itu mengambil rokok sekotak (20 batang) dalam sehari bermakna dalam sebulan berjumlah 30 kotak (600 batang) yang harganya sekitar hampir BND300. Jumlah harga sedemikian setentunya tinggi. Dan alangkah baiknya jumlah sedemikian dibelanjakan kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dan memberikan manfaat bukan sahaja kepada perokok itu sendiri tetapi juga keluarganya. Mungkin dengan secara tidak langsung, penggemar rokok akan berfikir dua kali melihat keadaan harga sedemikian. Langkah paling baik yang dilakukan oleh para perokok ialah berhenti merokok. Namun kitani juga mengetahui bahawa bukan mudah untuk 'membuang' tabiat merokok. Ia memerlukan masa panjang bukannya sehari dua tetapi sehingga bertahun-tahun baru mungkin 'ketagih' merokok itu dapat dihilangkan atau ditiadakan sama sekali.

Menurut pindaan baru itu, bagi komoditi rokok akan dikenakan cukai sebanyak BND0.25 setiap batang rokok. Bagi para pelancong atau warga negara ini yang berhajat membeli rokok di luar negara juga dihadkan untuk membawa sekatun atau 10 kotak rokok yang berjumlah 200 batang dengan dikenakan cukai sebanyak BND50 (iaitu BND0.25 sebatang rokok dikenakan cukai). Kerana menurut pindaan baru itu telah meniadakan keistimewaan konsesi bebas dari duti kepada penumpangpenumpang yang membawa rokok yang tiba di negara ini yang berumur 17 tahun ke atas yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas dan pintu-pintu masuk utama ke negara ini yang dibebaskan daripada membayar duti bagi jumlah rokok yang dibawa tidak melebihi 200 batang. Ini bermakna setiap penumpang hanya dibenarkan membawa 200 batang rokok. Mereka yang membawa masuk lebih daripada itu dengan sendirinya akan dirampas.

Apa pun, kita tidak mendapat banyak atau sebarang manfaat daripada rokok. Melainkan kemudaratan dan membawa kita daripada kemiskinan dari segi ekonomi kerana membelanjai rokok. Tidak ada maknanya status glamor, jika sekiranya rokok itu mengundang kepada pelbagai penyakit kronik yang mengancam kesihatan dan nyawa. Dalam hal ini kita tidak ada pilihan melainkan kita wajar berhenti merokok. Merokok apa pun alasannya terdapat bahaya besar yang boleh mengancam kesihatan, bahkan nyawa boleh melayang.

Maka dalam hubungan ini, elok rasanya kita renung kembali akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Mengenai Rokok - Atau Kesihatan pada 11 Julai 2002. Antara lain baginda bertitah: "Dari satu segi, orang melihat rokok berdasarkan kaca mata ekonomi yakni dari sudut kepentingannya sebagai antara faktor yang boleh mendatangkan keuntungan. Tetapi dari segi yang lain pula orang mendapati terdapat bahaya besar yang boleh mengancam kesihatan bahkan nyawa." Apa yang diharapkan dengan kenaikan harga rokok di negara ini ianya akan boleh membantu agar negara kita akan bebas daripada rokok. Itulah harapan kita semua. Itulah harapan bagi generasi akan datang.

(Ketua Bahagian PELITA BRUNEI)

Di ambil dari Pelita Brunei di alamat: : http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/15Nov10/edit.htm

________________________________________________________

Marilah kita melihat video di bawah ini yang di ambil dari Youtube mengenai bahaya rokok...
 

 Di ambil dari:
http://www.youtube.com/watch?v=Dy6_3Xz2VG4