Monday, November 29, 2010

Kisah Pesakit mental

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Usaha harus diteruskan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan bagi memberikan pengiktirafan bahawa penyakit mental harus diberikan rawatan dan dikesan pada peringkat awal lagi supaya rawatan dapat dilaksanakan.


Perkara yang mendukacitakan adalah, terdapat kes-kes di Brunei sama seperti di Malaysia di mana terdapat pesakit yang menghidapi dan merana akibat penyakit mental secara berterusan selama antara 8 hingga 10 tahun sebelum mereka di bawa untuk mendapatkan rawatan.


Sebahagian besar daripada pesakit yang dibawa untuk mendapatkan rawatan itu telah menjadi agresif atau sukar untuk di kawal lagi, jelas Ketua Bahagian Perkhidmatan Psikiatri, Dr Ramli Hassan ketika berucap di Forum Hari Kesihatan Mental Sedunia 2010 yang berlangsung di Jerudong, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Lailawati Haji Jumat. Lebih dari 50 pakar Psikiatri dan pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Kesihatan turut hadir di forum berkenaan.


Dr Ramli menambah menerusi kegiatan yang diadakan sebagai sebahagian dari Hari Kesihatan Mental Sedunia 2010 diharap akan dapat mempromosikan lagi kepada orang ramai mengenai masalah berkenaan.


Beliau berharap dengan adanya peningkatan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya kesihatan mental di kalangan orang dewasa, belia dan kanak-kanak, lebih banyak usaha aktif dapat dikendalikan di semua peringkat bagi memastikan tahap kesihatan mental dapat dipelihara.


Dr Ramli yakin peningkatan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan mental akan dapat membantu mereka untuk mengenal pasti masalah penyakit mental dan yang paling penting, mendapatkan rawatan di peringkat awal kehadiran penyakit berkenaan.


Sementara itu, Dr Hajah Lailawati dalam ucapan beliau berkata sering kali masalah kesihatan fizikal dan masalah kesihatan mental wujud bersama dan terdapat kejadian di mana pesakit yang mempunyai penyakit fizikal kronik juga menghidap masalah kesihatan mental serta pada masa yang sama, terdapat pesakit yang mempunyai masalah mental atau masalah penyalahgunaan bahan menghidap masalah kesihatan fizikal yang tidak dikesan atau terus tidak dikenal pasti.


Sehubungan itu, amat penting supaya perlu wujud integrasi yang lebih baik di antara kesihatan mental dan kesihatan fizikal, khususnya bagi mengesan kesihatan mental di peringkat penjagaan asas dan supaya perlu ada peningkatan dari segi keupayaan sistem penjagaan asas untuk mengesan dan merawat penyakit mental di dalam pesakit yang menghidap sakit fizikal.


Perkara itu harus ditekankan kerana kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal di mana tidak ada kesihatan tanpa kesihatan mental, tambah beliau lagi.


Beliau mendedahkan perangkaan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa empat jenis penyakit kronik iaitu penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser dan penyakit respiratori adalah bertanggungjawab bagi 60 peratus dari kematian yang dicatat di seluruh dunia.


Hajah Lailawati juga mendedahkan bahawa kajian menunjukkan bahawa hubungan di antara penyakit fizikal kronik dan penyakit mental meningkat dengan tinggi yang menjelaskan bahawa mereka yang mempunyai penyakit fizikal kronik juga menghidap masalah kemurungan.


Kajian itu menunjukkan bahawa masalah kemurungan menyerang kira-kira 10 hingga 25 peratus wanita dan 5 hingga 10 peratus lelaki tetapi angka itu meningkat kepada 25 hingga 33 peratus dalam pesakit yang menghidap penyakit fizikal kronik.


Beliau menyeru berdasarkan kepada angka-angka berkenaan, supaya pesakit, keluarga mereka dan penjaga pesakit itu, peka dan sedar pentingnya kesihatan mental dalam penjagaan pesakit yang menghidap penyakit fizikal kronik.


Forum itu mengetengahkan sesi ceramah oleh tiga orang penceramah terdiri dari pegawai-pegawai perubatan Jabatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Ahmad Rifai Farid, Dr Ramli Hassan dan Dr Abang Bennet Abang Taha yang membincangkan mengenai tema, Kesihatan Mental Bagi Pesakit yang Menghidap Penyakit Fizikal Kronik."

Berita ini di tulis oleh:
Sim. Y.H. (2010). Media Pertama Online. 20 November 2010.
http://www.mediapermata.com.bn/isnin/nov29t1.htm