Friday, February 11, 2011

Hari Kanser (Barah) Sedunia 2011: Kesan Kanser Ke atas Kesejahteraan Jiwa

Hari Jumaat lepas, iaitu 4hb Februari 2011, merupakan Hari Kanser Sedunia - satu hari yang dipilih oleh Badan Kesihatan Sedunia (World Health Organization atau WHO) untuk mewujukan kesedaran masyarakat di seluruh dunia mengenai penyakit kanser. Tujuan menyambut hari tersebut juga adalah untuk mendorong usaha untuk mencegah, mengesan, dan merawat penyakit ini.


Di Negara Brunei Darussalam, pelbagai acara diadakan untuk menyambut Hari Kanser Sedunia, termasuk Forum yang diadakan pada 9hb Februari 2011 dan Walkathon di Jerudong Park pada hari Ahad 13hb Februari 2011.


Sungguhpun pada hari ini kebanyakan jenis penyakit kanser dapat dirawat (terutamanya jika dikesan dan dirawat pada tahap awal), ianya masih merupakan sesuatu yang cukup traumatik apabila diberi berita yang diri atau orang tersayang mempunyai penyakit kanser. Bagi kebanyakkan orang, penyakit kanser masih mempunyai sinonim dengan kematian. Cuba fikirkan, apakah terbayang diminda awda apabila membayangkan seseorang yang mempunyai penyakit kanser? Seorang yang kurus kering, kepala yang tidak lagi ditumbuhi rambut, badan yang lemah tidak bermaya, dan dekat kepada ajal.


Penyakit seperti penyakit kanser mempengaruhi segala aspek kehidupan. Termasuk hubungan keluarga dan rakan-rakan. Perasaan "ingau"atau kerisauan, dan perasaan "inda tantu" mungkin membuatkan suasana di rumah menjadi tidak tenteram.


Penyakit ini juga boleh menjejaskan keadaan ekonomi seorang individu, ataupun seluruh keluarga. Ianya mungkin mempengaruhi kemampuan seseorang itu berkerja. Syukur Alhamdulilah, di Negara Brunei Darussalam, kerajaan membiayai kos rawatan serta penerbangan ke Singapura, jika perlu. 


Satu lagi segi kehidupan yang terjejas disebabkan penyakit kanser adalah kemampuan untuk menikmati aktiviti yang diminati sebelum mendapat penyakit itu, disebabkan stres atau kesedihan, ataupun disebabkan kurang tenaga.


Disebabkan kaitan yang rapat antara penyakit kanser dan maut pada pemikiran orang ramai secara umum,
kesan psikologi kepada orang yang mempunyai penyakit kanser adalah cukup kuat. Kesan psikologi secara keseluruhan bergantung kepada beberapa perkara:


1. Keperibadian seseorang itu, yakni samada ia biasanya dapat mengendalikan tekanan dengan tabah, ataupun mudah resah apabila terdedah kepada sesuatu tekanan.


2. Apakah makna penyakit kanser kepada individu tersebut. Jika ia berfikiran bahawa kanser itu mengakhiri cita-citanya atau mempengaruhi identiti seseorang itu, contohnya penyanyi opera yang mempunyai penyakit kanser pada bahagian tekak.


3. Keadaan kehidupan seseorang itu.


4. Sokongan sosial.


Kesan penyakit kanser kepada seseorang individu adalah mendalam kerana penyakit itu mengancam:
1. Kehidupan dan kesihatan
2. Keselesaan tubuh badan
3. Keupayaan berdikari
4. Kebebasan
5. Identiti seseorang itu
6. Keupayaan memainkan peranan di dalam keluarga dan masyarakat
7. Rancangan untuk masa hadapan


Faktor-faktor di atas membuatkan orang-orang yang menhidapi penyakit kanser lebih mudah mengalami masalah kesihatan mental - seperti kemurungan, 'uri' (anxiety/gelisah) atau kabak-kabak (panic).




1. Lebih kurang setengah orang yang menghidapi kanser yang tidak dapat dipulihkan ataupun pada peringkat yang penyakit sudah merebak kepada organ-organ lain, juga mengalami masalah kesejahteraan jiwa seperti kemurungan atau uri atau panic.


2. Secara keseluruhan 15 - 25% orang yang menhidap kanser akan mengalami kemurungan.


3. Kadar kematian meningkat sebanyak 25% dalam kumpulan orang-orang yang mengalami penyakit kanser dan mengaku mempunyai perasaan murung, dan sebanyak 39% pada kumpulan orang-orang yang menghidap penyakit kanser, dan didapati mengalami masalah kemurungan oleh pakar psikiatri


4. Penyakit kanser paru-paru dan buah dada adalah sebab kedua tertinggi dikalangan orang-orang yang menghidap penyakit kesihatan mental yang bernama schizophrenia.


Oleh itu, penyakit kanser mestilah dikesan pada peringkat awal, supaya dapat dirawat, dan memberikan peluang terbaik kepada orang yang menghidapi penyakit kanser itu untuk pulih semula. Di samping itu, masalah kesihatan mental dikalangan orang yang menghidapi penyakit kanser juga perlu dikesan pada peringkat awal kerana merawat masalah kesihatan mental boleh menambah kemungkinan orang-orang yang menghidap kanser akan dapat pulih, ataupun paling tidak, memberi peluang kepada pesakit dan keluarga memanafaatkan apa-apa tempoh masa yang ada.